
Bersiar-siar di Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Kota Kinabalu dahulunya dikenali sebagai Jesselton, dinamakan sempena Sir Charles Jessel, salah seorang Pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, atau BNBCC. Semasa Perang Dunia Kedua, Kota Kinabalu dan beberapa bandar lain di Sabah telah dibom dengan teruknya oleh Pasukan Bersekutu yang memusnahkan segala-galanya. Selepas perang reda, pihak BNBCC mendapati bahawa kos untuk pembinaan semula sangat mahal, oleh sebab itu pada tahun 1946, Sabah telah menjadi koloni British sehingga tahun 1963, apabila Sabah memperoleh kemerdekaannya melalui Persekutuan Malaysia.Pada 30 September 1967, Jesselton diberi nama Kota Kinabalu. Dua puluh tiga tahun kemudian, yakni pada 2 Februari, 2000 Kota Kinabalu diberikan taraf bandar raya. Selaku ibu negeri Sabah, KK yang memiliki penduduk sekitar 300,000 orang juga menjadi pintu keluar ke beberapa bandar utama dan daerah.
Muzium Sabah & Kampung Budaya Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Bangunan ini terletak di atas sebuah anak bukit yang bersilang kedudukannya dengan Hospital Ratu Elizabeth. Muzium yang tersergam indah ini merupakan muzium terbesar daripada beberapa banyak muzium di Sabah. Kompleks bangunan yang dibina pada tahun 1985 ini, mengandungi Bangunan Utama, Pusat Sains dan Pendidikan, Kampung Budaya, Galeri Seni Lukis Sabah dan Muzium Tamadun Islam. Di dalamnya terdapat pelbagai galeri yang menempatkan antaranya Sejarah Semula jadi, Tembikar, Etnografi dan pameran Arkeologi. Tembikar, senjata tradisional dan busana mencerminkan kepelbagaian budaya negeri ini dan menyusur galurkan perhubungan dagang terawal antara Sabah dengan negara jirannya di Asia Tenggara dan China. Muzium ini juga menempatkan instrumen muzik, dan peralatan ritual. Dalam kawasan Muzium juga terdapat Kampung Budaya. Anda dapat memasuki dan menyaksikan sendiri kepelbagaian rumah tradisional daripada pelbagai kumpulan etnik suku kaum di Sabah. Kegiatan kebudayaan juga turut diadakan dari semasa ke semasa. Muzium Negeri Sabah terletak di Jalan Bukit Istana Lama, Kota Kinabalu, 4 km atau kira-kira 15 minit perjalanan dari pusat bandar raya.
Pasar Kraf Tangan Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Terletak di sepanjang Jalan Tun Fuad Stephens, Pasar Kraf tangan ini merupakan tempat yang dituju oleh masyarakat tempatan dan pelancong asing. Lambakan cenderamata menanti anda dan sememangnya ada sesuatu untuk setiap orang. Mulakan dengan barangan kemasan diri dan cenderamata kecil murah seperti rantai kunci, gelang dan rantai manik, dan penanda buku yang boleh dijadikan hadiah buat rakan-rakan dan handai taulan. Anda akan rambang mata untuk memilih pelbagai sarung dan pareo yang cantik sebagai kenangan percutian anda di Sabah. Pastikan anda sempat memilih kerdipan perhiasan diri daripada mutiara dan kraf tangan. Anda boleh membeli butiran mutiara atau kerongsang yang memukau, rantai dan subang, yang tersedia di hampir kesemua gerai di pasar yang terbentang ini. Kepada anda yang memang mengimpikan barangan perhiasan berukiran kayu, anda telah sampai ke tempat yang bertepatan. Pasar ini memiliki pelbagai pilihan ukiran kraf, termasuklah topeng kayu eksotik, bingkai gambar dan panel dinding yang memukau. Tidak ketinggalan juga pilihan bakul rotan yang pelbagai bentuk dan saiz.Perkara yang paling menyeronokkan tentang Pasar Kraf tangan ini ialah anda tidak akan tahu apakah bentuk harta karun yang bakal anda temui semasa lawatan anda ke sini. Ada yang telah kembali ke tempat asal dengan membawa sompoton ( instrumen muzik tradisional ), sumpitan pemburu kepala kaum Murut, beg tangan berbentuk kelapa dan sang katak kayu yang boleh menyanyi setiap kali anda mengusap belakangnya dengan batang kayu. Tip menarik ketika melawat ke sini ialah berusahalah untuk tawar menawar. Kutiplah sedikit sebanyak ungkapan tempatan untuk memperbaiki kemahiran tawar menawar anda dan anda akan pulang dengan barangan yang cukup murah di tangan anda.
Kampung Budaya Monsopiad Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Bersebelahan Sungai Penampang terdapat banyak bangunan tradisional yang membentuk Kampung Budaya Monsopiad, muzium hidup yang terletak 16 km dari Pusat Bandar raya. Monsopiad merupakan seorang pahlawan yang menggerunkan yang tinggal di Kampung Kuai kira-kira 200 tahun dahulu.Di perkampungan ini, lawatilah Tangkob atau tempat pengumpulan padi. Kotos Di Monsopiad atau Rumah Utama Monsopiad dibina khusus untuk memperingati dan keturunannya. Turut dipamerkan ialah tembikar, mesin padi, peralatan buluh dan juga busana Bobohizan Inai Bianti, iaitu keturunan terdekat Monsopiad dan seorang ketua adat yang amat dihormati.Pameran lain yang tidak kurang hebatnya ialah monolit agam yang merujuk kepada pelbagai legenda, restoran tradisional dan sudah tentu Siou Do Mohoing, atau Rumah Tengkorak yang menempatkan 42 ‘trofi’ milik Monsopiad bergantungan di kasau.
Masjid Negeri Sabah Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Merupakan salah satu daripada binaan indah di Sabah. Dengan keagungan kubahnya yang bermotif dan bertatahkan emas, terletak tidak jauh dari pusat bandar. Masjid yang dibina dengan kombinasi unik antara reka bentuk masa kini dan seni bina Islam ini boleh menampung sehingga 5,000 orang jemaah pada setiap masa. Terdapat juga langkan balkoni yang secara eksklusifnya menempatkan sehingga 500 orang jemaah wanita.
Para pelawat dinasihatkan untuk mematuhi kod berpakaian apabila melawati tempat beribadah ini. Elakkan melawat pada hari Jumaat, yakni hari solat Jumaat bagi penganut Islam.
Menara Tun Mustapha (Yayasan Sabah) Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Terletak sejauh 5 kilo meter atau lebih kurang 15 minit pemanduan dari Pusat Bandar raya KK. Sebelum ini dikenali sebagai Bangunan Yayasan Sabah, menara bundar yang diperbuat daripada keluli dan kaca setinggi 30 tingkat di Teluk Likas dan dengan segera menjadi ikon Sabah. Bangunan ini memiliki keluli yang menyokong setiap tingkat. Apabila siap pada tahun 1977, bangunan ini menjadi antara tiga bangunan yang dibina berdasarkan konsep rekaan seumpama ini. Di dalam kompleks bangunan ini menempatkan auditorium, dua teater mini, foyer pameran, gimnasium, tadika dan perpustakaan penyelidikan. Di tingkat 18 terdapat restoran berpusing Atmosphere, tempat anda menikmati hidangan dalam suasana yang amat berbeza.
Pantai Tanjung Aru Kota Kinabalu (Ibu Negeri)
Terletak di penghujung Jalan Tungku Abdul Rahman dan kira-kira 6 kilo meter dari Bandaraya Kota Kinabalu, tempat ini amat dekat di hati penduduk tempatan, dan dengan hanya satu kali kunjungan sahaja anda akan mendapat tahu jawapannya. Mendapat namanya daripada pohon casuarina atau aru yang menghiasi pantai yang memutih, di sinilah tempat di mana seseorang itu akan menempatkan dirinya di keliling gelanggang untuk menyaksikan lembayung suria perlahan-lahan melabuhkan tirainya di kaki langit dan meninggalkan langit petang yang kemerah-merahan. Gerai makanan yang menyediakan makanan dan minuman tempatan dibuka sehingga larut malam. Nikmatilah jus kelapa dan tebu, sate ayam atau daging, kacang dan jagung stim, atau menjamu selera di restoran makanan laut yang terletak di situ. Pantai Tanjung Aru juga menjadi rumah bagi Shangri-la’s Tanjung Aru Resort, Kinabalu Golf Club dan Kinabalu Yacht Club
Saturday, October 31, 2009
Posted by ADMIN SMK BAHANG PENAMPANG at 10:48 AM 0 comments
Sunday, October 25, 2009
Subscribe to:
Comments (Atom)

